Tuesday, July 6, 2010
Monday, July 5, 2010
Petua Daging Cepat Empuk
Terdapat beberapa petua untuk melembutkan daging ketika memasak. Antaranya ialah:
PETUA DAGING CEPAT EMPUK 1) Semasa merebus atau memasak daging,masukkan sebatang camca kecil ke dalam periuk. Dipercayai camca ini menyerap lebih haba / kepanasan yang membantu proses melembutkan daging. 2) Anda juga boleh memilih untuk memasukkan beberapa helai daun nangka ke dalam masakan atau rebusan daging,jika tidak mahu menggunakan camca seperti petua di atas. 3) Masukkan panadol ke dalam rebusan daging. Petua ini biasa saya dengar diamalkan di majlis kenduri yang biasanya memasak daging dalam jumlah yang banyak. Namun sejauhmana keberkesanannya tidaklah dapat saya pastikan. 4) Selain itu,anda juga boleh masukkan beberapa tangkai daun betik ke dalam masakan untuk melembutkan daging. 5) Jika tiada tangkainyanya,anda juga boleh menggantikannya dengan betik muda.Pastikan anda kupas kulitnya,buang biji serta bersihkannya terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mana-mana masakan berasaskan daging. 6) Kepingan tempe juga selalu digunakan untuk melembutkan gulai daging. Hanya masukkannya ke dalam masakan dan biarkan. 7) Perap daging yang telah dipotong dengan sedikit cuka makan selama lebih kurang 15 minit.Selepas itu toskannya hingga kering,lalu masak seperti biasa. Anda hanya perlu memastikan api dapur berada pada tahap sederhana ketika masakan daging itu hampir menggelegak. Hasilnya daging lebih cepat empuk dan rasanya juga amat sedap. Anda juga boleh cuba menggunakan keratan batang ubi kayu.Pastikan batang ubi kayu itu dibersihkan terlebih dahulu.Masukkan ke dalam periuk ketika ia sedang mendidih sahaja. Biarkan selama 10 – 15 minit,lalu angkat serta asingkan batang ubi kayu tersebut. 9) Gaul daging bersama tepung dan perapkan dengan kicap selama 30 minit sebelum dimasak. 10). Tumbuk lumat buah keras,lalu masukkan ke dalam ramuan gulai daging. Daging akan lebih cepat empuk. Sumber : http://ujanasihat.com/petua-dapur/petua-lembutkan-daging-cepat-empuk/ |
Sunday, July 4, 2010
Jangkitan Salur Kencing - Urinary Tract Infection
Saluran kencing anda terdiri dari:
|
Apakah jangkitan saluran kencing?
Apabila kuman (bakteria) menyerang saluran kencing, ia dikenali sebagai UTI.
Apakah kuman biasa yang menyebabkan UTI?
Escherichia Coli biasanya terdapat di saluran penghadaman (usus) dan di bahagian kulit sekeliling kemaluan.
Adakah lelaki boleh mendapat jangkitan saluran kencing?
Ada juga lelaki yang dijangkiti jangkitan saluran kencing tetapi jarang jika dibandingkan dengan kaum wanita. Jika lelaki mendapat jangkitan salur kencing, mereka mungkin mempunyai struktur dan fungsi yang abnormal di sistem saluran kencing mereka.
Kenapa jangkitan saluran kencing lebih kerap berlaku di kalangan kaum perempuan?
Uretra pada perempuan adalah pendek. Lubang uretra terletak bersebelahan dengan dubur dan lubang kelamin.
Apakah tempat yang biasa dijangkiti?
Pundi kencing adalah tempat yang biasa dijangkiti. Jangkitan pada pundi kencing dikenali sebagai "cystitis".
Bagaimanakah cara kuman memasuki pundi kencing?
Pencemaran bakteria mungkin berlaku di kalangan perempuan semasa mengesat dubur dari belakang ke depan selepas membuang air besar. Bakteria dalam faraj (vagina) mungkin akan naik ke pundi kencing semasa hubungan kelamin.
Apakah gejala yang biasa UTI?
- Kencing dengan kerap
- Rasa sakit atau rasa pedih selepas kencing
- Rasa hendak kencing lagi walaupun tiada air kencing (tidak puas)
- Rasa sakit di bahagian bawah abdomen
- Kencing berdarah atau kencing yang berbau
- Demam sederhana
Apakah gejala yang menunjukkan jangkitan sudah melintasi pundi kencing?
- Demam yang tinggi berserta dengan rasa sejuk dan menggigil
- Loya dan muntah
- Sakit di bahagian belakang pinggang
Apakah patut anda buat jika anda rasa anda menghidap UTI?
Anda patut mendapat rawatan doktor segera kerana:
- Gejala anda tidak akan baik jika tidak mendapat rawatan
- Jangkitan boleh merebak dan merosakkan buah pinggang
Apakah rawatan untuk UTI?
Anda akan diberi ubat antibiotik untuk membunuh kuman. Adalah penting untuk anda menghabiskan rawatan antibiotik seperti yang diarahkan oleh doktor.
Bagaimana anda boleh mencegah UTI?
Tampon |
|
Sejak dulu lagi Kranberi telah digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat atau mencegah UTI.Banyak penyelidikan baru- baru ini mendapati Kranberi berfungsi dalam dua cara:
1.Antilekat
Pelekatan bakteria pada dinding salyuran kencing menyebabkan E. coli membiak. Penyelidikan baru-baru ini mendapati Kranberi mangandungi ‘proanthocyanidins’. Sebatian yang bertanggungjawab mencegah E.coli daripada melekat pada dinding saluran kencing, dan dengan itu mengganggu edaran jangkitan.
Di samping itu, Kranberi juga mengandungi fruktos yang menghalang E.coli daripada melekat pada sel-sel saluran kencing.
2.Antibakteria:
Kranberi berupaya mengasidkan air kencing, dan dengan itu dapat mewujudkan suasana tak mesra supaya E.coli tidak dapat hidup. Keadaan ini mengurangkan paras bakteria bagi mencegah penyakit akan datang.
Kajian mendapati, kekerapan mengambil jus Kranberi atau tablet yang mengandungi Kranberi pekat,dapat mengurangkan bilangan E.coli dalam saluran kencing (oleh itu, dapat mencegah jangkitan)serta berulangnya UTI.
Ubat herba lain yan ditemui ialah Goldenrod. Ia mempunyai banyak khasiat anti-keradangan dan antiseptik. Goldenrod sering digunakan untuk merawat keradangan yang membabitkan saluran kencing.
Uva Ursi, Asparagus & Cornsilk: Uva Ursi adalah salah satu antiseptik kencing semula jadi yang terbaik. Daun Uva Ursi mengandungi anti-bakteria yang kuat, terutama untuk melawan E.coli. Uva Ursi, Asparagus dan Cornsilk adalah diuretik. Mereka berfungsi dengan meningkatkan volum air kencing, dengan itu membantu menghapuskan bakteria daripada saluran kencing.
Pokok Kuching Galak : Pokok renek ini boleh didapati di sekitar kawasan rumah kita ,selalu bila kita mencabutnya dan memberi kepada kuching,kuching akan terus meninggalkan makanannya dan terus memakan akar pokok ini.Ambil segenggam akar pokok ini dan direbus lalu diminum airnya,insyaallah akan hilang segala penyakit ini dan selalunya kalau ada batu karang sebesar mata mancis di buah pinggang atau saluran pundi kencing ia akan keluar akan hancur dan melalui air kencing.cuba amalkan ,bagi yang ada masalah buah pinggang bengkak dan pada peringkat primary sakit buah pinggang,minumlah air rebusan ini,insyaallah.Bukti keberkesanan setakat ini ,respon yang penulis dapat amat mengalakkan dan terbukti 80% berkesan dan tanpa ada kesan sampingan .Kalau ada yang inginkan maklumat berkaitan sila hubungi webmaster info sihat.
Perhatian: Bagi UTI yang teruk atau berulang kembali, rawatan dengan antibiotik adalah diperlukan.
Sila jumpa doktor jika anda masih was-was.
Saturday, July 3, 2010
Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.
Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…
“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”
Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.
Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.
“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.
Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!
Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut
Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
Friday, July 2, 2010
Jarang Dilihat Namun Amat Mempersonakan : Mari Berzikir
Abu Hurairah r.a memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,ALLAH s.w.t berfirman:Sesungguhnya,Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku,adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku,jika dia mengingat aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa).Apabila hambaku mendekatiku sejengkal,maka aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa.Dan apabila dia datang mendekati akudengan berjalan,maka Aku dekati dia dengan berlari.
Hadith ini mengandungi berbagai-bagai keterangan.ALLAh berfirman:"Aku bertindak terhadap hambaKu sebagaimana yang disangkakan olehnya." maksudnya hendaklah senantiasa mengharapkan kurnia dan rahmat dari ALLAH s.w.t. Janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmatNya.Walaupun kita berdosa dan telah melampaui batas yang kita percaya bahawa segala dosa dan kesalahan kita itu pasti akan dibalas namun janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmat ALLAH s.w.t. Kemungkinan besar ALLAh s.w.t mengampuni dosa kita semata-mata dengan rahmat kurniaNya.
Baginda Nabi s.a.w menziarahi seorang sahabat muda yang berada dalam sakaratul-maut, lalu Baginda bertanya kepadanya, "Apakah hal kamu ini?" Jawabnya, " Ya Rasulullah aku mengharapkan rahmat ALLAH dan aku takut denganNya kerana dosa-dosa ku." Sabda Baginda," Jika kedua-dua ini (yakni harapan dan ketakutan) didapati di dalam keadaan seperti ini, maka nescaya ALLAH s.w.t mengurniakan apa-apa yang diharapkan dan menyelamatkan dari apa yang ditakuti."(JAMI'UL FAWA'ID)
Diberitahukan di dalam satu hadis, bahawa seorang mukmin menganggap terhadap maksiatnya, seolah-olah orang itu berada di kaki sebuah gunung dan gunung tersebut akan terhempas ke atasnya. Sebaliknya seorang penderhaka yang menganggap terhadap dosanya,seolah-olah seekor lalat yang berada di sampingnya dan kemudian lalat itu diterbangkan,yakni orang itu tidak memperdulikan langsung mengenai dosa-dosanya itu.Jelas sekali bahawa seseorang itu mestilah merasa takut terhadap maksiat menurut keadaan maksiat-maksiat itu dan juga mengharapkan rahmat menurut keadaannya pula.
Diriwayatkan bahawa seorang sahabt r.a berkata: "Ya Rasulullah s.a.w hukumhukum syariah (undang-undang Islam) ini telah banyak bagiku, tunjukilah kepadaku akan sesuatu sebagai pegangan bagiku," Baginda s.a.w bersabda:" Hendaklah lidahmu senantiasa basah dengan zikrullah."
Di dalam satu hadits ada disebutkan Hazrat Muaz r.a berkata bahawa pembicaraan yang terakhir sekali yang berlaku di antara baginda s.a.w dengannya ialah seperti berikut:" Semasa aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dan aku bertanya amalan manakah yang amat dicintai oleh Tuhan?Sebagai menjawab Baginda s.a.w bersabda:"Basahiah lidahmu dengan zikrullah ketika kamu tinggalkan dunia."
Semasa berpisah maksudnya ialah baginda s.a.w mengtus hazrat Muaz r.a selaku gabenor ke Yaman untuk menyampaikan dakwah dan taklim di sana.Di waktu Muaz r.a hendak berangkat, baginda s.a.w memberikan beberapa nasihat kepadanya.Ia juga mengemukakan beberapa masalah kepada baginda s.a.w termasuklah masalah yang tertera di atas.
Di dalam satu hadis dilaporkan bahawa baginda s.a.w ada bersabda: "Barang siapa yang di dapati padanya empat perkara,nescaya ia akan memperolehi segala kebaikan di dunia dan di akhirat.Pertama,lidah yang senantiasa basah dengan berzikir.Kedua,hati yang senantiasa sibuk dengan bersyukur.Ketiga,anggota-anggota tubuh yang senantiasa menahan segala penderitaan.Keempat,isteri yang tidak mengkhianati maruahnya dan harta benda suaminya." Mengkhianati maruah maknanya mengerjakan sesuatu kemaksiatan.Lidah yang basah maksudnya telah pun diterangkan oleh ulama-ulama sebagai membanyakkan.Ini adalah merupakan simpulan bahasa,menurut kebiasaan,apakala seseorang memuji atau menyebut nama seseorang yang lain dengan sebanyak-banyaknya,maka dikatakan bahawa lidah sifulan telah dibasahi dengan memuji sianu.
Tetapi pada pandangan saya yang hina-dina ini,jika seseorang jatuh dalam percintaan maka lidahnya akan merasai kemanisan dan kelazatan hanya dengan menyebut nama orang yang dicintainya.Hakikat ini tentu dirasai oleh orang yang pernah jatuh dalam percintaan.Oleh itu,maksudnya sudah jelas iaitu hendaknya menyebut nama ALLAH yang Maha Suci sehinggalah kelazatannya dapat dirasai oleh lidah orang yang menyebutnya.
Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabatnya r.a. "Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi ALLAH yang meninggikan darjatmu keperingkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkah emas dan perak (di jalan ALLAH) yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad,maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para sahabat berkata bahkan: "Apakah itu Ya Rasulullah?" Sabdanya:"Zikrullah."
Fadilat dan keutamaan zikrullah yang diterangkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w adalah berkaitan dengan keadaan dan masa sebagai keseluruhannya, kerana terkadang-kadang dengan memandangkan keadaan yang tertentu maka sedekah,jihad dan urusan-urusan yang lain dipandang lebih utama daripada segala amalan.Lantaran fadilat dan kelebihan amalan-amalan itu pun diterangkan di dalam beberapa hadis kerana kelebihan amalan-amalan itu adalah berkaitan dengan keadaan yang tertentu sedangkan kelebihan dan kepentingan zikrullah adalah berkaitan dengan seluruh masa (iaitu pada setiap masa).
Adalah dilaporkan di dalam sebuah hadis bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya (umpamanya untuk membersihkan badan dan pakaian dipergunakan sabun dan untuk menghilangkan karat besi dipergunakan api dan lain-lainnya).Maka demikian itulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."
Hadis ini juga mengatakan bahawa zikrullah adalah lebih utama daripada yang lain-lain.Zikir itu dianggap sebagai pembersih hati hati yang kotor, kerana setiap ibadat dikira dalam ertikata sebenarnya apabila ibadat-ibadat itu dikerjakan dengan ikhlas dan pencapaian ikhlas itu adalah bergantung kepada hati yang jernih lagi suci.
Oleh itu sebahagian ulama tasauf mengatakan bahawa zikir yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisani (zikir dengan lidah).Dengan mengerjakan zikir qalbi itu hati seseorang manusia terkontek (terhubung) dengan ALLAH buat selama-lamanya.Hakikat ini tidaklah dapat disangkalkan lagi bahawa keadaan yang disebutkan ini adalah lebih utama dari segala inadat kerana tercapai sama ada anggota-anggota zikir maupun anggota-anggota batin.Anggota-anggota ini semuanya adalah menurut hati.Jika hati itu berhubung dengan sesuatu maka anggota-anggota lain dengan sendirinya akan terhubung dengannya.Keadaan para pecinta tidaklah tersembunyi kepada sesiapa pun.
Abu Said Al-Khudri r.a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Berappa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di kasur yang empuk yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga."
Mengenai penderitaan dan kesulitan di dunia menyebabkan (manusia) mendapat darjat yang tertinggi di alam akhirat.Sebanyak penderitaan yang dialami di dunia ini kerana agama.Setinggi itulah martabatnya dipernaikkan di akhirat kecuali zikrullah yang maha suci yang keberkatannya menyebabkan (manusia) mencapai ketinggian martabat walau dikerjakan di atas kasur-kasur yang empuk sekalipun.
Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda: "Jika sekiranya kamu senantiasa dengan berzikir nescaya para malaikat akan berjabat tangan denganmu dijalan-jalan dan tempat tidur kamu."
Dilapurkan dalam sebuah hadis lagi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: " Telah berjayalah mereka yang unggul sendiri." Para sahabat bertanya: "Siapakah yang unggul sendiri ya Rasulullah?" baginda Rasulullah s.a.w bersabda:" Ialah mereka yang menyebut nama ALLAH sebanyak-banyaknya (yakni orang-orang yang senantiasa sibuk dengan zikrullah)."
Dengan memandangkan hadis ini ulama-ualama tasauf menulis bahawa tidaklah harus seorang pemerintah dan para hartawan ditegah daripada zikrullah kerana dengan zikrullah itu mungkin mereka mencapai ketinggian martabat (pada sisi ALLAH).
Hazrat Abu Darda r.a berkata:" Kamu hendaklah mengingati ALLAH dalam kesenangan dan kelapangan nescaya ALLAH akan mengingati kamu dalam kesusahan dan kesempitan."
Abu Musa r.a memberitakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Perbandingan oarang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti oarang yang hidup dengan orang yang mati.Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang mati."
Setiap manusia mencintai kehidupannya dan setiap orang pula takut mati.Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa tidak mengingati ALLAH s.w.t sungguhpun ia hidup namun keadaanya tidak berbeza dengan keadaan orang yang mati, kehidupannya adalah sia-sia belaka."
Seorang pujangga berbangsa Persia berkata: "Kehidupanku itu bukanlah kehidupan pada hakikatnya tetapi kehidupan yang sebenarnya ialah orang yang dapat mencintai kekasihnya."
Sebahagian ulama yang lain pula mengatakan bahawa perbandingan ini adalah tertuju kepada laba dan ruginya yakni barang siapa yang menyakiti orang yang berzikir itu adalah seperti menyakiti orang yang hidup, maka ia pasti akan dibalas dan dia akan menerima akibat perbuatannya itu. Dan barang siapa yang menyakiti orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang menyakiti oarang yang sudah mati yakni orang yang sudah mati itu tidak boleh bertindak terhadap orang yang menyakitinya itu.
Abu Musa r.a memberitahukan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika sekiranya orang yang mempunyai wang yang banayk lalu membahagi-bahagikan (kerana ALLAH) dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir maka yang berzikir itu lebih utama (daripada oarang yang membelanjakan wangnya kepada jalan ALLAH)."
Sunguhpun membelanjakan harta pada jalan ALLAH adalah satu amalan yang terafdal sekali namun zikrullah itu lebih utama lagi jika dibandingkan dengannya.Alangkah berbahagianya para hartawan yang membelanjakan harta kekayaanya pada jalan ALLAH dan disamping itu mendapat taufik pula untuk mengingati ALLAH s.w.t. Di dalam sebuah hadis telah diberitakan bahawa ALLAH s.w.t juga mensedekahkan (nikmat-nikmatNya) kepada hamba-hambaNya pada setiap hari dan mengurniakan sesuatu pada mereka menurut keadaan mereka itu.Namun begitu tidak ada kekurniaan yang lebih besar daripada taufik utk berzikir.
Dilapurkan dalam sebuah hadis bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Sebaik-baik hamba ALLAH ialah yang senantiasa mengawasi peredaran bulan, matahari,bintang-bintang dan bayang-bayangannya buat menentukan waktu untuk berzikir."
Sesungguhnya dewasa ini manusia menggunakan jam,taqwim dan lain-lainnya namun peredaran masa menerusi peredaran bulan dan matahari lebih manafaat.Jika sekiranya jam rosak atau waktunya tidak tepat maka boleh menggunakan taqwim syamsi tadi agar masa yang amat berharga itu jangan tersia-sia.Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa jika seseorang yang berzikrullah di mana-mana bahagian di permukaan bumi ini maka bahagian itu berbangga ke atas tujuh-tujuh petala bumi.
Muaz bin jabal r.a memberitakan bahawa baginda rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa penghuni-penghuni syuga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berdukacita mengenai suatu apapun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah."
Apabila penghuni-penghuni syurga menyaksikan pahala ganjaran yang bertimbun-timbun laksana gunung bagi sebutan nama Tuhan yg Maha Suci yang ia sebutkan didalam dunia hanya sekali sahaja.Maka dia akan menyesal seraya berkata, " Alangkah ruginya aku kerana masaku yang banyak terbuang di dunia tanpa zikir."
Hafiz-ibnu-hajar rah.a menulis dalam kitabnya 'Al-Munabbihat' bahawa Yahya bin Muaz rah.a (seorang ahlullah yang terkemuka di mana-mana di dunia ini) sering berkata di dalam munajatnya: " Ya ALLAH,hamba tidak merasa gembira di malam hari kecuali dengan bermunajat dan berbisik-bisik kepada Engkau.Dan hamba tidak berasa gembira di siang hari kecuali dengan beribadat kepada Engkau. Dan hamba tidak merasa gembira di dunia ini kecuali dengan menyebut nama Engkau yang Maha Agung.Dan hamba tidak akan berasa puas di alam akhirat kecuali dengan pengampunan Engkau (terhadap dosa-dosaku). Dan hamba tidak akan berdukacita di syurga kecuali dengan menyaksikan wajah Engkau (Yang Maha Indah).
Abu Hurairah dan Abu Said r.a memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikrullah melainakn dikerumunilah mereka oleh malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka oleh ALLAH s.w.t di hadapan mereka yang berada di sisiNya.
Abu zar r.a meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Aku menasihatkanmu,kamu hendaklah bertakwa kepada ALLAH kerana Ianya sumber segala amalan.Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan sebabkan nur di permukaan bumi.Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescay syaitan akan terhindar darimu dan kamu ditolong tentang urusan-urusan agamamu.janganlah sekali-kali banyak ketawa keran dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap.Utamakanlah jihad kerana kebanggan umatku.Hendaklah mengasihani orang miskin dan menggauli mereka.Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat ALLAH yang Ia anugerahkan kepada kamu.Hendaklah mengukuhkan silaturrahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka dengan kamu.Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.Janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agam ALLAH.Carilah keaiban dirimu sendiri,jgnlah sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain.Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirmu sendiri.Wahai Abu Zar tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya, sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna.
Hazrat Muawiyah r.a memberitahukan bahawa sekali Baginda Rasulullah s.a.w keluar menemui satu halqah(majlis) para sahabat lalu baginda Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka, "Mengapa anda sekelain duduk di sini?" sahut mereka: "Kami menyebut ALLAH dan memujiNya atas nikmat agama Islam yang telah dilimpahkanNya kepada kami." Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:"Kerana itukah anda sekelian duduk di sini? Aku tak akan meminta kamu bersumpah atau aku hendak menuduh kamu, namun Malaikat Jibrail telah mendatangiku dan mengatakan bahawa ALLAH s.w.t membanggakan kamu atas para malaikatNya."
Yakni aku bertanya kepada kamu dengan bersumpah kerana aku hendak tahu dengan secara tepat mungkin ada amalan-amalan yang selain daripada ini yang kerananya ALLAH s.w.t membanggkan kamu atas para malaikatNya.Ini sudah terjelas bahawa zikrullah yang menyebabkan Tuhan membanggkan kamu atas para malaikatnya.
Alangkah berbahagianya mereka(para sahabat) yang ibadat-ibadatnya diterima serta pujian dan sanjungan mereka terhadap Tuhan dibanggakanNya atas para malaikatNya dan disampaikanNya kepada mereka berita melalui lidah Rasulullah s.a.w sedangkan mereka masih berada di dunia ini.Mengapa tidak, amal perbuatan mereka itu amatlah setimpal dengannya.
Hazrat Anas r.a memberitakan bahawa Baginda rasulullah s.a.w bersabda:"Orang-oarang yang berkumpul utk berzikrullahhannya dengan tujuan mendapatkan keredhaanNya maka seorang malaikat berseru dari langit bahawa dosa-dosamu telah diampunkan dan kejahatan-kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.
Menurut hadis yang lain, "Sebaliknya jika orang-orang berkumpul disesuatu majlis kemudian berpisah dari majlis itu tanpa zikir maka majlis itu menyebabkan mereka akan menyesal pada hari kiamat."
Yakni mereka menyesal kerana mejlis itu telah sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang keberkatan bagi mereka.Ada kemungkinan besar bahawa akan ada sesuatu yang kerananya majlis itu menyebabkan tertimpanya bala bencana ke atas mereka.Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa jika sesuatu majlis yang peserta-pesertanya tidak berzikrullah dan tidak pula berselawat ke atas Nabi s.a.w mereka itu adalah seperti orang-orang yang berpisah dari keldai yang mati.