Komik, sering kali dilabel sebagai "bahan bacaan murahan" ataupun picisan yang kurang bernilai. Malah, ia juga acapkali dikaitkan sebagai "pembunuh bahasa" serta antara medium berkesan yang dikenalpasti mampu merangsang minda kanak-kanak mahupun dewasa menjurus ke arah pembentukan sifat kejam dalam sahsiah keperibadian.
Justeru, tidak menghairankan apabila terbitnya satu perasaan sinikal di sanubari ibu bapa tatkala anak mereka meminta untuk mendapatkan koleksi komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball. Menganggapnya sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah, ibu bapa lebih gemar bertindak atas kata hati dengan memilih buku-buku yang mereka rasakan berupaya merangsang minda anak-anak, asalkan ia bukan dari jenis "komik".
Namun demikian, apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menyuarakan pandangan untuk menjadikan "komik" sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, sekaligus memberi pelbagai spekulasi terhadap cadangan terbaru itu.
Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir, pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, dengan berpaksikan kepada stigma masyarakat terhadap komik sebagai satu bahan bacaan merosakkan, justeru timbul persoalan apakah relevannya ITNM berbuat demikian? Sekiranya "ya" dan mampu memupuk budaya membaca, apakah faedah mahupun kelebihan yang boleh diperoleh daripada komik?
Komik Bukan Lagi Bahan Bacaan Murahan
"Ibu bapa perlu ubah pandangan mereka terhadap komik, kerana kalau kita lihat sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea, semuanya dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi makanan," katanya kepada BERNAMA dalam satu temubual baru-baru ini.
Sambil tidak menafikan bahawa komik sebelum ini pernah dimanipulasikan sebagai medium merosakkan minda kanak-kanak, Zinitulniza berkata ia sudah berlalu malah paradigma ketika ini telah memperlihatkan satu pengiktirafan kepada genre itu dalam memupuk minat membaca.
Malah, katanya komik hasil kartunis terkenal negara, Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan buku teks di Australia, serta di barat pula pengiktirafan telah diberikan kepada buku bergenre sedemikian di mana ia kini dikenali sebagai "literature komik" berbanding komik picisan sebelum ini.
Katanya, revolusi itu akhirnya membuka lembaran baru terhadap pandangan sinikal "dunia komik", apabila ia dijadikan sebagai bahan pendidikan di Korea dan Jepun, sekaligus menarik minat ITNM untuk membawa kaedah baru itu ke sistem persekolahan negara ini.
"Komik bukanlah untuk dijadikan bahan bacaan utama, cuma sebagai jambatan bahan bacaan untuk menarik minat mereka membaca, jadi apabila mereka seronok, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis buku, yang penting adalah macam mana cara untuk pupuk minat mereka," katanya.
Kenapa Kanak-Kanak Kurang Gemar Membaca?
Zinitulniza berkata ibu bapa sering melenting dan merungut apabila anak-anak tidak gemar menjadikan buku sebagai kawan akrab, namun pernahkah mereka cuba mendalami perasaan serta minat anak-anak?
"Ibu bapa suka membaca, tetapi anak-anak tidak minat kerana apabila bawa mereka ke kedai buku, ibu bapa selalunya buat pilihan tidak tepat iaitu memilih buku-buku yang kita rasakan anak-anak suka baca walhal mereka tidak suka sebenarnya.
"Kanak-kanak lebih suka membaca buku-buku yang mereka rasakan ada faedah kepadanya serta mempunyai banyak gambar daripada teks, dan bila mereka pilih komik ibu bapa halang seratus peratus, itu tidak sepatutnya kerana budak-budak apabila dipaksa baca akan jadi "mental block"," katanya.
Dengan bersandarkan pelbagai cabaran yang menggugat proses pemupukan bacaan seperti siaran televisyen berbayar, permainan komputer, komik dilihat sebagai satu medium terbaik untuk menarik minat membaca, katanya.
Kenapa Komik?
Menurut Zinitulniza, sudah menjadi lumrah kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, ringkas, menarik serta mempunyai kaitan dengan apa yang mereka baca.
"Di Jepun, Doraemon dijadikan untuk belajar sains dan matematik, seperti formula sains bagaimana pokok tumbuh dan ianya diaplikasikan menerusi karakter yang kanak-kanak suka.
"Lagipun, kalau kita tengok karakter komik Doraemon adalah watak hidup seperti ada watak rajin, pemalas, kaki buli dan semua karakter ini hidup di sekeliling kehidupan kita, jadi bila kanak-kanak baca komik mereka rasa dekat dan mereka suka kerana menghiburkan," katanya.
Selain itu, katanya, komik berupaya merangsang imaginasi kanak-kanak, sekaligus mendidik mereka untuk menjadi kreatif. Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat membantu merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan rakyat negara ini lebih kreatif dan inovatif.
Tidak terhad kepada itu, beliau berkata pembacaan komik juga mendidik kanak-kanak untuk mengenal pelbagai jenis emosi serta pemahaman simbol tanda baca hasil daripada lakaran riak muka karakter berkenaan.
"Pernah dulu ketika saya selesai memberi penerangan mengenai kebaikan komik, ada seorang guru menyatakan dia kesal kerana buang segala komik yang anak-anaknya baca kerana merasakannya tidak berfaedah, walhal ia sebaliknya.
"Macam komik Doraemon, ada pintu suka hati, kadang-kala ada elemen sejarah kerana diceritakan zaman hulubalang, ada futuristik, geografi, jadi apabila kanak-kanak suka, mereka akan tidak sabar tunggu edisi seterusnya," katanya.
Komik Sains Mula Tahun Depan
Bagi memastikan hasrat ITNM untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, Zinitulniza berkata pihaknya telah komited untuk memilih satu koleksi komik dari Korea yang berkonsepkan "sains ikhtiar hidup" untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Katanya, koleksi komik tersebut dipilih selepas meneliti wawasan Perdana Menteri, nilai dan faedah serta penjualannya yang telah melebihi sebanyak lapan juta di Korea serta lebih empat juta di Thailand.
"Idea ini pernah kita bincangkan secara asas ketika ITNM lancarkan buku "Nyawa di Hujung Pedang" di Korea yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita telah tunjukkan contoh komik tersebut serta membawa penulis komik berkenaan bertemu dengan beliau.
"Secara asasnya, Kementerian Pelajaran tertarik dan bersedia untuk menimbangkannya dan sekarang ini ITNM sedang menyediakan rangka kertas kerja kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata buku komik itu mempunyai 15 judul dan tertumpu kepada teknik penceritaan sekumpulan remaja yang mengembara di hutan, menguji kepintaran mereka menghadapi situasi tertentu apabila berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang tidak dijangka.
Katanya, projek perintis itu dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun depan dan buat permulaan ia hanya diedarkan ke sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh negara.
Pemantauan Perlu Dilakukan
Tidak menghalang malah sentiasa menggalakkan anak-anaknya membaca komik, aktor Esma Daniel berpendapat pembacaan buku jenis genre sedemikian sedikit sebanyak telah merangsang pembentukan minda kreatif di kalangan anak-anaknya.
Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh menyerahkan seratus peratus kepada anak dalam proses pemilihan buku komik kerana ia perlu dilakukan bersama bagi mengelakkan mereka daripada membeli koleksi yang tidak berfaedah.
"Saya memang galakkan anak membaca komik kerana ada unsur moral, cuma kena tapis dululah. Saya tidak beri mereka duit beli sendiri kerana mungkin mereka tersalah beli. Adalah tugas ibu bapa, membantu anak memilih koleksi yang dapat membantu proses pendidikan anak mereka," tegas bapa kepada lima orang anak ini.
--
No comments:
Post a Comment