Sumber : http://akhi-ahmad-kamil.blogspot.com/2010/01/rasulullah-saw-bergurau-dengan-kanak.html
Daripada Hadrat Anas bin Malik r.a beliau berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu bergurau dengan kami sehingga Baginda pernah bersabda kepada adik kecilku,
يا أبا عُمَير , ما فعل النغير
Ya Aba Umair , Apa yang dibuat oleh Nughair (Muttafaqun Alaih)
Nughair adalah burung kecil yang menyerupai burung merpati. Adik kepada Hadrat Anas sering bermain dengan burung tersebut. Namun kemudiannya burung itu mati.
Berkata Imam Abu Isa rahimahullah,
”Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri pernah bergurau. (Dalam kitab ditulis dengan كان يمازح menggunakan uslub kana + mudhori’ = fe’el madhi istimrari. Maknanya sering juga bergurau, wallahu a’lam-akhi).Baginda s.a.w dalam hadis ini telah memberi kunniyah (gelaran seperti Abu dan Ummu ) kepada seorang anak kecil dengan memanggilnya ‘Aba Umair’. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa tidak salah memberi seekor burung kepada anak kecil untuk bermain.
Adapun Baginda s.a.w bersabda demikian adalah kerana adik Hadrat Anas r.a ini mempunyai seekor burung yang dia selalu bermain dengannya, namun burung itu kemudiannya mati. Anak kecil itu berasa sedih. Lalu Baginda s.a.w pun bergurau dengannya untuk membuat dia gembira. ” [1]
Apakah yang menyebabkan kanak-kanak ini gembira?
Adik kepada Hadrat Anas r.a ini adalah seorang kanak-kanak yang cerdas. Kalau kita sendiri semasa kecil dahulu, mungkin kita akan bertmbah sedih sekiranya seseorang menyebut-nyebut lagi mengenai kehilangan barang mainan yang amat kita sayangi sebagaimana layaknya perihal seorang kanak-kanak biasa. Namun tidak pada yang ini.
Berkata Imam al-Manawi rahimahullah,
”Malah dia menjadi amat senang hati kerana Rasulullah s.a.w sendiri berbicara dengannya. Hatinya menjadi riang. Dia bangga kerana Baginda melayannya. Habis satu keluarga diceritakan mengenai hal ini. Rasulullah bercakap dengan saya! Baginda bertanya pada saya! Dia menyibukkan dirinya dengan hal ini sehingga dengannya hilanglah rasa sedihnya. Si kecil ini mempunyai kebijaksanaan dan cerdik, oleh kerana itulah Baginda s.a.w berbicara dengannya begitu.” [2]
Faedah hadis
Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah,
Hadis ini memberi banyak sekali faedah. Antaranya:
1) Harus memberi kuniyah kepada seseorang yang belum ada anak walaupun kanak-kanak. Ini tidaklah pula dianggap sebagai berbohong.
2) Harus bergurau pada perkara yang tidak mendatangkan dosa
3) Harus mentasghirkan sebahagian nama misalnya Hirrah jadi Hurairah, Amr jadi Umair, Fadhl jadi Fudhail, Naghr jadi Nughair.
4) Harus kanak-kanak bermain dengan burung kecil dan menjadikannya (brung itu) miliknya
5) Harus menyusun bicara yang baik dan indah untuk melembutkan hati kanak-kanak
6) Hadis ini juga menggambarkan betapa Baginda s.a.w memiliki akhlak yang sangat mulia, sempurna dan amat tawadhok. [3]
Berkata Mulla (Bahasa Urdu, sama dengan Allamah dalam Bahasa Arab) Ali al-Qari rahimahullah berkata,
Hadis ini menunjukkan harus bergurau dengan anak-anak kecil untuk mengubat dukacitanya.
Kesimpulan
Sekiranya gurau senda yang dilakukan adalah bertujuan untuk menghilangkan kesedihan, mengubat hati yang berduka, dan yang seumpamanya maka ia adalah mustahab dan dibenarkan selagi mana tiada padanya unsur-unsur yang menyalahi syariat seperti menipu, menyebabkan permusuhan dan sebaginya.
[1] Dinukil oleh Imam Tirmizi dalam kitab as-Syamail
[2] Di dalam kitab syarahnya kepada as-Syamail
[3] Di dalam Syarah Muslim
[4] Di dalam Jam’u al-Wasail
Rujukan
1 Syarah Sohih Muslim oleh al-Imam an-Nawawi rahimahullah
2. al-Mizah Adab wa Ahkam oleh Syeikh as-Sayyid bin Hamudah hafizahullah
No comments:
Post a Comment