Monday, August 29, 2011

Hadis Dua Perkara Yang Berharga (Hadis Thaqalain)



Sabda Nabi SAW:"Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian thaqalain (dua perkara yang berharga) Kitab Allah dan itrah Ahlu l-Baitku. Sekiranya kalian berpegang kepada kedua-duanya nescaya kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya. "
Muslim di dalam Sahih31nya mengutip sabda Nabi SAW: Aku tinggalkan kepada kalian Thaqalain (dua perkara yang berharga) pertamanya Kitab Allah padanya petunjuk dan cahaya. Oleh itu ambillah kalian dengan Kitab Allah dan peganglah kepadanya. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahlu l-Baitku ini.
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnad32nya daripada Sa'id al-Khudri daripada Nabi SAW bersabda: Aku hampir dipanggil (oleh Tuhanku) dan aku segera menyahutinya. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian al-Thaqalain (dua perkara yang berharga) Kitab Allah dan 'Itrahku. Kitab Allah adalah tali yang terbentang daripada langit ke bumi dan 'Itrahku Ahlu l-Baitku. Sesungguhnya Allah SWT memberitahuku tentang kedua-duanya. Sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga dikembali kepadaku di Haudh. Maka kalian jagalah baik-baik kedua peninggalanku itu.
Al-Muttaqi al-Hindi meriwayatkan hadith ini di dalam Kanz al-Ummal.33 Sementara al-Turmudhi di dalam Sahih34nya daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari dia berkata: Aku melihat Rasulullah SAW di Haji Wida' hari Arafah ketika beliau berada di atas unta dan bersabda: Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian, jika kalian mengambilnya nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan 'Itrah Ahlu l-Baitku. Al-Turmudhi berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Dhar, Abu Sa'id, Zaid bin Arqam dan Huzaifah bin Usayd.
Al-Turmudhi juga meriwayatkannya daripada Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian selama kalian berpegang teguh kepadanya, kalian tidak akan sesat selepasku. Salah satunya lebih besar daripada yang lain: Kitab Allah merupakan tali yang terbentang daripada langit dan bumi dan 'Itrah Ahlu l-Baitku. Kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Kalian jagalah baik-baik dan bagaimana kalian memperlakukan kedua-dua peninggalanku. Al-Turmudhi selepas mengeluarkan hadith ini menyatakan bahwa hadith ini adalah hadithHasan.
Al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba,35 al-Hakim di dalam al-Mustadrak36 daripada Zaid bin Arqam, sesungguhnya Nabi SAW bersabda semasa Haji Wida': Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian Thaqalain (dua perkara yang berharga) salah satunya lebih besar dari yang lain; Kitab Allah dan Itrahku. Oleh itu jagalah kedua-duanya peninggalanku itu. Sesungguhnya kedua-duanya itu tidak akan berpisah sehingga dikembalikan di Haudh. Al-Hakim37  selepas mengemukakan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini adalah sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim. Juga al-Dhahabi di dalam Talkhis38nya.
Al-Qunduzi al-Hanafi dalam Yanabi' al-Mawaddah39 meriwayatkan daripada Imam al-Ridha AS bahawa beliau berkata tentang itrah: Mereka disabdakan Rasulullah SAW: Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga: Kitab Allah dan 'itrah Ahlu l-Baitku. Sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Dan jagalah baik-baik kedua-dua peninggalanku itu. Wahai manusia, janganlah kalian mengajar mereka kerana mereka lebih mengetahui daripada kalian. Ibn Kathir telah meriwayatkan hadith ini di dalam Tafsir40nya.
Ibn Hajr di dalam Sawa'iqnya bab kesebelas menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan dengan banyak. Ketahuilah bahawa hadith Thaqalain telah diriwayatkan oleh lebih daripada dua puluh sahabat. Ada yang menyatakan ianya berlaku di Haji Wida' di Arafah, ada yang menyatakan di Madinah ketika Rasulullah SAW sedang gering di mana biliknya dipenuhi oleh para sahabat. Ada yang menyatakan ianya berlaku selepas beliau pulang dari Taif. Walau bagaimanapun ianya tidak menjadi halangan jika beliau mengulangi hadith tersebut di tempat-tempat yang berlainan kerana penekanan beliau yang serius terhadap Kitab Allah dan 'itrahnya yang suci.
Al-Ya'qubi di dalam Tarikh41nya menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: Aku melintasi kalian ketika kalian dibentangkan di hadapan Haudh. Sesungguhnya aku akan bertanya kepada kalian ketika kalian  dikembalikan kepadaku tentang Thaqalain. Dan lihatlah bagaimana kalian memperlakukan kedua-dua peninggalanku. Mereka bertanya: Apakah Thaqalain (dua perkara yang berharga) wahai Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Yang pertama adalah yang paling besar iaitu Kitab Allah (berada) 'di tangan' Allah dan di tangan kalian. Justeru itu kalian berpeganglah dengannya. Janganlah kalian menjadi sesat, dan janganlah kalian menukarnya dan kedua 'itrah Ahlu l-Baitku.
Al-Darimi telah menyebutkannya di dalam al-Sunan42, al-Nasa'i di dalam al-Khasa'is43 dan al-Khanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib44. Abu Nua'im al-Isfahani di dalam al-Hilyah45, Ibn al-Kathir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah46, Ibn Abd Rabbih di dalam al-Iqd al-Farid47, Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Khawwas48, al-Halabi al-Syafi'i di dalam Insan al-'Uyun49, Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib50, al-Nisaburi di dalam Tafsirnya51, al-Khazin di dalam Tafsir52nya, Ibn Abi l-Hadid di dalam Syarh Nahj al-Balaghah53, Syablanji di dalam Nur al-Absar54, Ibn Sibaqh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah55, dan al-Baghawi al-Syafi'i di dalam Masabih al-Sunnah.56
Sayyid Syarafuddin RH menyatakan di dalam bukunya al-Muraja'at57 (Dialog Sunnah - Syi'ah) bahawa buku-buku sahih yang mewajibkan berpegang kepada Thaqalain (dua perkara berharga) adalah Mutawatir, dan ianya telah diriwayatkan oleh lebih dua puluh sahabat. Di mana Rasulullah SAW telah bersabda di tempat yang banyak, di hari Ghadir Khum, hari Arafah di Haji Wida', selepas kembalinya dari Taif, di atas mimbar masjidnya di Madinah dan akhirnya di dalam biliknya semasa sakitnya. Bilik di waktu itu dipenuhi oleh para sahabat. Beliau bersabda: Wahai manusia! Hampir nyawaku diambil dengan cepat, dia (Izra'il) sedang datang kepadaku. Dan sesungguhnya aku telah mengemukakan kepada kalian kitab Allah 'Azza Wa Jalla dan 'Itrah Ahlul Baitku. Kemudian beliau mengambil tangan 'Ali lalu mengangkatnya sambil bersabda: Ini 'Ali bersama al-Qur'an, dan al-Qur'an bersama 'Ali kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya kembali kepadaku di Haudh.
Anda mengetahui perkataan khutbah SAW di hari itu tidaklah berhenti dengan perkataan ini sahaja, tetapi sayangnya politik telah membelenggukan lidah-lidah pakar-pakar hadith, dan menahan pena penulis-penulis. Meskipun titisan yang sedikit (ini) dari lautan itu dan serpihan yang kecil dari keseluruhannya adalah memcukupi.

Nota Kaki:
31. Sahih, II, hlm. 238. 32. al-Musnad, III, hlm. 17, 26, 59, dan IV, hlm. 267. 33. Kanz al-Ummal, VII, hlm. 112. 34. Sahih, II, hlm. 308. 35. Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 16. 36. al-Mustadrak, III, hlm. 109, 148 & 532. 37. Ibid., hlm. 109. 38. al-Talkhis, III, hlm. 109. 39. Yanabi al-Mawaddah, hlm. 25. 40. Tafsir Ibn Kathir, III, hlm. 486. 41. Tarikh al-Ya'qubi, II, hlm. 93. 42. al-Sunan, II, hlm. 432. 43. al-Khasa'is, hlm. 30. 44. Kifayah al-Talib, hlm. 89. 45. Hilyah al-Auliya', I, hlm. 355. 46. Usd al-Ghabah, I, hlm. 12; II, hlm. 147. 47. al-'Iqd al-Farid, II, hlm. 346. 48. Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 332. 49. Insan al-'Uyun, III, hlm. 308. 50. Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 18. 51. Tafsir al-Nisaburi, I, hlm. 349. 52. Tafsir al-Khazin, I, hlm. 257. 53. Syarh Nahj al-Balaghah, VI, hlm. 130. 54. Nur al-Absar, hlm. 99. 55. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 25. 56. Masabih al-Sunnah, III, hlm. 2056. 57. al-Muraja'at, hlm. 22. 

No comments: